Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kerajaan dapat menyelesaikan isu-isu yang berkaitan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh setahun.

Katanya, hasil daripada kutipan GST yang dilakukan oleh kerajaan  juga akan digunakan untuk dimanfaatkan rakyat.

Menurut Najib, beliau akan membentangkan kepada rakyat setiap ringgit tambahan hasil negara melalui GST.

“Saya akan bentangkan kepada rakyat setiap ringgit tambahan hasil negara melalui GST. Saya akan bentangkan untuk pengetahuan rakyat.

“Masalah GST disebabkan peniaga. Peniaga ini jahat. Dia nak 'titik' orang ramai, dia yang tidak bertanggungjawab bukan kerajaan, kita punya dasar lain.

"Apabila peniaga mengeksploitasi keadaan ini, rakyat salahkan kerajaan dan perdana menteri. Semua orang hempap atas kepala saya, walhal niat hati saya adalah untuk mengukuhkan kewangan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di hadapan 20,000 orang di Majlis Lawatan Kerja Ke Negeri Perak Di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada Sabtu.

Menurut beliau, kebanyakan permasalahan dan salah faham mengenai GST yang menimbulkan kemarahan rakyat adalah berpunca daripada sikap peniaga yang ingin mengaut keuntungan yang berlebihan.

Tambah beliau, kerajaan telah berusaha untuk membantu rakyat dengan memansuhkan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) dengan menggantikannya dengan GST.

“Ada barang yang orang tidak tahu dulu ada SST, tetapi yang masalahnya SST dulu patut dikurangkan harga, bukan dikurangkan malah ditambahnya lagi enam peratus,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu Najib meminta langkah penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mengheret peniaga-peniaga tegar ini ke muka pengadilan.

Sebuah restoran nasi kandar terkenal di Bukit Jambul hari ini diserbu Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang gara-gara menjual roti canai telur pada harga RM2.50.

Timbalan Ketua Penguatkuasa KPDNKK negeri Chin Ching Chung berkata pemeriksaan pada 10.40 pagi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan pengguna mengatakan harga roti canai telur sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ialah RM1.80.

"Peniaga terbabit diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan dokumen berkaitan dan menyatakan sebab munasabah mereka menaikkan harga sebelum tindakan penguatkuasaan diambil," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata jika pengusaha gagal mengemukakan alasan kenaikan itu dalam tempoh yang ditetapkan mereka boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Jika pengusaha terbabit didapati mengaut keuntungan dengan margin berlebihan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 14 akta sama," katanya.

Chin berkata siasatan lanjut mendapati harga roti canai telur di restoran itu berubah beberapa kali sebelum April iaitu dari RM1.80 kepada RM2.20 dan terbaru menjadi RM2.50 selepas GST.

Tinjauan mendapati tanda harga pada papan menu menggunakan pelekat yang mudah dipinda mendapati harga roti canai telur pernah dijual pada harga serendah RM1.60.

Beliau berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan harga dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa sikap tamak segelintir peniaga yang mengambil kesempatan pelaksanaan GST untuk menaikkan harga barang sesuka hati.

Seorang pekerja di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Padang Tembak, Air Itam terpaksa menahan kesakitan akibat ditumbuk seorang pelanggan premis berkenaan gara-gara nasi kandar yang dibelinya dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, suspek yang datang bersama seorang rakan dikatakan tidak puas hati dengan harga nasi kandar yang dikenakannya lalu menumbuk muka mangsa.

Lelaki warga tempatan itu juga bertindak membuang bungkusan makanan itu ke lantai restoran berkenaan sebelum meninggalkan restoran tersebut.

Mangsa yang merupakan warga Bangladesh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Farid Alathrash Wahid berkata, suspek hilang kawalan diri.

“Bagaimanapun, selepas sepuluh minit suspek dan rakannya kembali dan memecahkan kaca tempat memanas makanan menggunakan sebilah parang sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 39 tahun bagi membantu siasatan. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” kataya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya tidak gundah dan runsing kerana kerajaan akan memaklumkan tentang arah tuju perbelanjaan hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurut beliau, kerajaan mengakui pelaksanaan GST yang bermula 1 April lalu perlu mengambil masa bagi proses pelaksanaannya yang lebih efisien dan memuaskan semua pihak.

Jelas Najib, sebelum ini umum berpendapat GST adalah baik untuk negara tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya setelah mendengar rungutan dan hingga berlakunya kekeliruan kepada rakyat.

“Kerana itu, hari ini saya bagi pihak kerajaan yang menepati janji, ingin menegaskan bahawa kita akan memastikan hasil GST akan diperuntukkan kembali kepada manfaat dan keperluan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam ucapannya sewaktu membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Dalam pada itu, tambah Najib, tatkala berdepan dengan ketidaktentuan harga minyak dan kemelut ekonomi global pada awal tahun ini pula, kerajaan tanpa berlengah telah membuat pengumuman khas, untuk mengambil langkah proaktif mengubah polisi bagi memastikan negara kekal berada di trajektori dan landasan yang betul lagi tepat.

Tegas beliau, ini membuktikan, kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang pragmatik dan sistematik dalam menyusun dan mencartakan apa jua kepentingan rakyat.

“Sesungguhnya, kita juga sentiasa menghargai jasa dan khidmat kakitangan awam dan anggota keselamatan dan untuk itu, dalam rancangan ini, kerajaan akan terus menjamin kebajikan mereka seperti pembangunan kerjaya, skim perkhidmatan dan perumahan dari masa ke semasa.

“Di samping itu, penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan terus dimantapkan dari segi kepantasan khidmat, kecekapan dan integriti.

“Bagi keseluruhan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas ini, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak 260 bilion ringgit sepanjang tempoh 2016 hingga 2020,” ujar beliau.

Kabinet bersetuju dengan cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya tambah nilai prabayar yang dijual pada harga RM10 akan mendapat nilai RM10 apabila diaktifkan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh menterinya Ahmad Shabery Cheek pada sidang media, hari ini. Beliau menambah, syarikat telekomunikasi diberi tempoh enam bulan untuk melaksanakan  kaedah ini sepenuhnya.

Ahmad Shabery berkata cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk tambah nilai prabayar akan dikenakan atas penggunaan atau ‘usage-based’.

Menurutnya, kerajaan berpandangan cara ini adalah lebih wajar kerana kerajaan tidak akan mengambil cukai sebelum perkhidmatan digunakan dan ia adalah bagi untuk semua kadar tambah nilai prabayar yang dijual di pasaran.

“Kerajaan mahu pihak telco melaksanakan kaedah dan pendekatan ini sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

“Dalam tempoh itu, pengenaan GST atas tambah nilai prabayar diteruskan pada kaedah sedia ada sehingga formula ‘beli RM10 dapat RM10′ ini dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas kabinet hari ini bersetuju dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh kementerian.

Pada 4 Mei lalu, kementerian telah mencadangkan supaya rakyat mendapat nilai sebenar bagi setiap tambah nilai prabayar yang dibeli.

Tambah Ahli Parlimen Barisan Nasional Kemaman itu lagi, bagi mengimbangi kesan pengenaan GST, pihaknya telah meminta pihak telco untuk menurunkan tarif perkhidmatan mereka.

Jelasnya, pada masa yang sama, telco juga digesa menawarkan pakej-pakej mampu milik kepada golongan sasar seperti pelajar.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan agar pelaksanaannya tidak merugikan rakyat kerana telco merupakan industri yang semakin lama semakin murah.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga ingin melihat tahap kualiti perkhidmatan yang baik daripada syarikat-syarikat telekomunikasi,” ujarnya.

Katanya Ahmad Shabery lagi, kaeda tersebut juga dapat memastikan kerajaaan dapat mengutip GST yang mana ia akan dikembalikan kepada rakyat.

“Ekonomi prabayar adalah sangat besar iaitu RM15 bilion setahun atau lebih RM1 bilion sebulan maka dengan itu wang daripada GST itu akan dikembalikan kepada rakyat.

“Malah rakyat juga tidak faham dua konsep yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu bayar RM10.60 dan bayar RM10 dapat RM9.43 maka disebabkan itu kerajaan akan laksanakan pendekatan baru ini ,” tegasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengarahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mengambil alih mengenai isu berkaitan kad tambah nilai prabayar selepas berlakunya percanggahan antara Ahmad Shabery dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berhubung perkara tersebut.

Ahmad Shabery sebelum ini bersetuju dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang bersetuju agar kad tambah nilai tidak dinaikkan.

Jelas beliau, syarikat telekomunikasi tidak akan kembali mengenakan harga lama seperti sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Namun begitu, pendapat berbeza disuarakan oleh Ahmad Maslan apabila beliau bersependapat dengan kenyataan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang meminta syarikat telekomunikasi supaya kembali mmengenakan harga lama sebelum 1 April.

Keputusan mengenai harga kad tambah nilai prabayar telefon bimbit yang akan dijual semula pada harga asal seperti sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ditangguhkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata ia selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memaklumkan bahawa kajian mengenai layanan cukai GST ke atas perkhidmatan kad prabayar masih dijalankan syarikat telekomunikasi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Semalam, Khazali mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar telefon bimbit akan dijual semula pada harga asal seperti sebelum pelaksanaan GST, bermula esok.

PKR meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh menerangkan sendiri kebaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution secara sinis meminta Najib tidak menghantar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan untuk menerangkan perkara itu.

“Tumpuan kami masih lagi melipat gandakan penerangan mengenai kesan buruk GST terhadap kehidupan rakyat.

“Saya ingin mencabar Datuk Seri Najib, kalau poster tidak kelihatan tidak apalah, cuma jangan hantar Ahmad Maslan untuk terangkan GST ini.

“Kita minta Datuk Seri Najib sendiri turun untuk menerangkan tentang kebaikan GST,” katanya dalam sidang media harian PKR di Yayasan Aman di sini.

Ahmad Maslan sebelum ini menerima kritikan daripada masyarakat terutamanya di media sosial berikutan kenyataannya berhubung GST.

Antaranya ialah Ahmad Maslan berkata kalau tidak mampu ke hospital swasta pergi hospital kerajaan dan meminta pelajar UiTM memasak sendiri bagi mengelakkan dikenakan GST.

Mengulas mengenai pendirian Pemuda PAS Pulau Pinang yang menarik balik boikot kempen mereka, Saifuddin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PAS Pusat yang berjaya menyelesaikan isu tersebut.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada seluruh pimpinan PAS pusat di atas usaha yang berterusan yang memungkin Dewan Pemuda PAS kemudiannya bersetuju menarik balik, menamatkan boikot dan turun membantu.

“Sekaranglah masanya jentera kita, PKR dan PR, menumpukan kepada isu-isu rakyat,” ujarnya.